Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

ADUN Sukau disenaraikan sebagai calon pada PRU13



Ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian ini semalam yang memutuskan bahawa penyandang wakil rakyat Dun Sukau serta kawasan Parlimen di sini sebagai antara senarai calon dalam Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13) untuk disampaikan ke pengetahuan pucuk pimpinan parti,  amat disambut baik.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian ini, Mohamad Hussin berkata, ketetapan tersebut jelas menggambarkan prinsip dan ketulusan mesyuarat parti  bahagian itu yang bersedia mematuhi arahan  dan kehendak pucuk pimpinan  Umno bagi memilih senarai calon pilihanraya di kawasan masing-masing.

“Saya amat gembira dengan ketatapan diambil  Datuk Bung Mokthar Radin selaku Ketua Umno Bahagian yang mempengerusikan mesyuarat ini. Lebih-lebih lagi  dengan menegaskan bahawa salinan senarai calon-calon berkenaan turut diberikan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,” katanya.

Mengulas berhubung keputusan mesyuarat dihadiri beliau berlangsung hampir tiga jam itu, Mohamad berkata, Datuk Bung Moktar  akur dengan cadangan beberapa ahli supaya penyandang wakil rakyat Dun Sukau kini dapat disenaraikan sebagai senarai calon PRU kali ini, walaupun ada ahli mencadangkan  awal untuk memberi mandat kepada Ketua Bahagian yang mempengerusikan mesyuarat itu bagi  memutuskan senarai calon yang dikehendakinya.

“ Walaupun ada sedikit pertikaian di kalangan AJK bahagian yang hadir, kata Mohamad, tetapi Ketua Umno Bahagian itu akhirnya memberikan kata putus untuk memasukkan penyandang wakil rakyat yang ada sekarang (DUN Sukau), selain  akan menyenaraikan nama beberapa individu yang difikirkan beliau layak menjadi calon  dalam PRU kali ini, mengikut kouta calon yang ada  pada  Umno bahagian ini.

 “ Saya gembira apabila Datuk Bung Mokthar Radin berulang kali mengatakan bahawa beliau  akan pastikan nama penyandang berkenaan, Datuk Saddi Haji Abdul Rahmdan sebagai antara calon BN dari Dun Sukau  yang akan dibawa ke pengetahuan pucuk pimpinan untuk diputuskan secara mutlak,” katanya.


Seorang lagi AJK Umno Bahagian yang turut hadir pada mesyuarat tersebut, Amirudin Mohd Damit berkata, ketegasan yang diambil oleh Datuk Bung Moktar  semalam menggambarkan beliau sedaya upaya untuk bersikap adil demi kebaikan  dan perpaduan ahli-ahli parti serta para penyokong BN di kawasan Kinabatangan.

“ Apa yang saya dapati, walaupun ada cadangan ahli-ahli supaya beliau membuat keputusan sendiri terhadap senarai calon yang boleh difikirkan pemimpin itu sebagai layak,  tetapi Ahli majlis Tertinggi Umno ini akhirnya menerima cadangan untuk memasukkan jawatan penyandang wakil rakyat khususnya Dun Sukau sebagai salah antara calon BN di kawasan ini,” katanya.

Kata Amirudin, keputusan mesyuarat itu sememangnya  amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat di kawasan Dun Sukau dan negeri Sabah, apalagi kerana kedudukan wakil tersebut bukan lagi sebagai senarai hairaki dalam kepimpinan Umno Kinabatangan ekoran  tewas  dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan sebelum ini.

“ Tetapi saya amat berbangga kerana seorang pemimpin yang masih muda, kuat bekerja  dan berpandangan jauh seperti Datuk Saddi masih  dapat disenaraikan semula sebagai  antara calon BN dalam PRU ke 13 dan ianya mendapat jaminan Ketua Bahagian yang mempengerusikan mesyuarat tersebut,” katanya.

Tambah Amirudin, Datuk Bung Moktar yang diberi mandat  menghantar senarai calon tersebut akan mengemukakannya Setiausaha Agung Umno Malaysia 2 April ini dengan salinannya turut diperolehi oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah  pada  hari yang sama.

Pada PRU 12 lepas, Saddi yang diberi mandat sebagai calon BN  Dun Sukau berjaya meraih  lebih 2,000 undi majoriti dalam pertandingan lapan penjuru, walaupun  selepas  Mesyuarat Menetapkan Calon Umno Bahagian Kinabatangan itu meletakkan beliau sebagai senarai nombor  lima dengan kapasitinya sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Kinabatangan.


Seorang lagi AJK Umno Bahagian, Mahali Makiang turut mengesahkan ketatapan yang diambil dalam mesyuarat bahagian itu semalam dan menyifatkan sebagai suatu yang adil dan bijaksana.