Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sukau

SukauTV

Kunjungan hormat PBBDS ke pejabat ADUN Sukau


Saddi (tengah) diapit oleh ahli persatuan Bina Badan Daerah Sandakan termasuk Japar (tiga dari kanan) yang merupakan presiden persatuan itu. Turut sama Pegawai Pembangunan Masyarakat Dun Sukau Amirudin (Kanan sekali).

Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman mengalu-alukan penubuhan Persatuan Bina Badan Daerah Sandakan (PBBDS)  ke arah memberikan galakan kepada golongan belia di daerah ini berkecimpung serta maju dalam bidang sukan tersebut.

Beliau berkata, bidang sukan  bina badan itu bukan saja memberikan pendidikan yang lengkap terhadap diet serta kualiti kesihatan tubuh badan, tetapi menjadikan Sandakan sebagai salah kuasa sukan bina badan di negeri ini pada masa akan datang.

“Saya sangat mengalu-alukan jika sukan ini boleh dikembangkan kepada kawasan Dun Sukau kerana saya mengharapkan agar golongan muda di kawasan Dun ini terlibat dalam apa juga bidang sukan yang mendorongkan golongan itu bebas daripada aktiviti yang tidak sihat khususnya dalam gejala penyalahgunaan najis dadah,” katanya.

Memberikan ucapan ringkasnya pada Majlis Kunjungan Kehormat PBBDS di pejabatnya di Bandar Labuk Jaya di Batu 7, Sandakan, Saddi berkata, bidang sukan tersebut adalah antara acara sukan penting yang diminati ramai kerana reputasinya yang penting  terhadap  kesihatan dan tubuh badan manusia.

“ Ketika di zaman muda, saya pun meminati bidang penjagaan badan. Ianya jika menjadi amalan rakyat bukan saja berguna untuk kesihatan tetapi akan menjadi salah satu produk sukan yang boleh dilahirkan masyarakat dari Sandakan dan Kinabatangan,” katanya.

Kunjungan itu diketuai oleh Presiden PBBDS, Japar Haji Abdullah, Sumardi Paidjo (Setiausaha), Abdullah Molok (Bendahari), Remy Rahim (Timb. Bandahari) dan Samrah Omar (AJK).

Sebelum ini PBBDS telah mencapai beberapa kejayaan awal sebelum kelulusannya yang antaranya menjadi Juara Segala Juara pada Kejohanan Mr Sabah peringkat kawasan Sandakan.  Japar yang juga seorang anggota polis pernah menduduki tempat ketiga pada  ketegori Bantamweight dalam Kejohanan Mr Sabah peringkat negeri yang diadakan di Sandakan tahun lalu.

PBBDS akan turut menghantar wakil bagi menyertai kejohanan MR Sabah peringkat negeri yang akan diadakan di Tawau 29 Jun depan.

Saddi berkata, beliau akan memberikan perhatian terhadap beberapa cadangan yang dikemukakan persatuan itu kepada beliau demi kebaikan badan sukan itu.

“ Kita memberikan sokongan padu terhadap apa juga keperluan mana-mana badan sukan di kawasan ini. Tetapi kita menggalakkan juga  kepada mana-mana pemimpin badan sukan  seperti PBBDS supaya mereka juga gigih dalam mencari tabung sendiri. Demikian juga dalam meningkatkan lagi aktiviti serta sasaran kepada golongan muda dan para peminat sukan ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Japar berkata, PBBDS menyasarkan kejayaan penting dalam beberapa ketegori pada Kejohanan MRd Sabah di Tawau demi memberikan galakan ddan keyakinan kepada ahli-ahlinya.

“Kami begitu mengalu-alukan cadangan bagi mengembangkan sukan ini di kalangan masyarakat Luar Bandar seperti dalam Dun  Sukau. Tetapi kami mengharapkan pihak kerajaan khususnya mengembangkan  pemberian kemudahan latihan sukan ini di kawasan seperti Kinabatangan bagi membolehkan anak-anak muda kampung berlatih dan mengikut disiplin yang ditentukan dalam acara sukan ini,” katanya.